Posted by: aminuddin | 04/03/2009

Si Dewasa Vs Si Muda

Pada satu pagi Ahad, saya pergi beriadah bersama-sama dengan belia dan remaja di kawasan tempat saya tinggal. Pagi itu kami semua bermain bola sepak. Seronok juga saya dapat bermain dengan penuntut-penuntut universiti yang umurnya lingkungan 19 tahun ke 21 tahun, tak sampai pun separuh dari usia saya. Kalau dulu ketika turun ke padang maka sayalah yang termuda di kalangan teman-teman tetapi kini giliran saya pula menjadi yang tertua.

Semasa bermain saya cuba sedaya upaya untuk menandingi kekuatan belia-belia ini. Saya cuba gelecek, kejar, rampas bola dan lain-lain. Walaupun taklah hebat sangat tetapi skil tu masih ada dan boleh menggelecek belia-belia. Tetapi satu perkara yang saya perasan sangat ialah setiap kali saya berlumba untuk mengejar bola maka setiap kali juga saya kalah dengan belia. Walaupun saya rasa yakin boleh menang berlumba mengejar bola tetapi hakikatnya kaki saya tak sekuat dulu. Saya sentiasa kalah. Akhirnya saya akur dan menerima hakikat bahawa usia telah memakan kekuatan saya, saya tidak boleh melawan fitrah alam.

Begitu juga apabila habis permainan selalunya belia-belia akan duduk bersembang dan berlawak jenaka. Saya selalu dapati diri saya agak kekok untuk melawak dengan mereka semua, topik-topik yang dibualkan pun rasa tak berapa boleh masuk sedangkan kalau dulu saya ni kaki lawak juga. Saya rasa hairan kenapa saya tak boleh bercakap sebagaimana mereka bercakap. Sekali lagi saya akur bahawa usia dan pengalaman yang amat berbeza menyebabkan saya tidak berapa dapat nak masuk alam mereka lagi.

Saya cuba renungi beberapa keadaan yang dialami golongan yang berusia lalu saya dapat menyimpulkan beberapa perkara :-

1. Faktor usia dan pengalaman sangat memberi kesan kepada pendekatan tarbiyah yang harus diberikan. Ia tidak lagi boleh disamakan dengan pendekatan ketika kita masih belia. Pendekatan ke arah analisa isu-isu semasa lebih menarik hati generasi dewasa dari isu-isu ”dalaman” yang tak pernah habis. Pemikirannya akan menjadi lebih kritis dari sebelumnya. Ertinya seorang murabbi harus mempunyai penguasaan ilmu syarak dan isu semasa dalam nak menangani golongan dewasa. Jika tidak, akan berlaku kejemuan di dalam program-program. Ini menyebabkan mereka lebih suka tidur di rumah dari menghadiri program.

2. Penilaian terhadap prestasi kepada golongan dewasa harus berbeza dengan golongan belia. Ia tidak hanya tertumpu kepada komitmen kepada setiap program semata tetapi ia harus diukur dari aspek hasil yang diperolehi dari kerja yang dilakukan. Kita harus ingat bahawa mereka telah melalui ratusan program yang sama semenjak bertahun-tahun dahulu. Apa yang dirasakan baharu oleh generasi muda mungkin sudah menjadi rutin kepada golongan dewasa. Kekuatan mereka tidak harus dilihat dari menghadiri program dalaman tetapi bagaimana mereka berinteraksi dengan masyarakat dan pertubuhan luar. Saya perhatikan banyak murabbi yang tidak memahami ini yang mneyebabkan tenaga-tenaga dewasa ini tidak diguna pakai. Akhirnya mereka akan hilang peranan dan mula menyendiri.

3. Pengalaman-pengalaman praktikal oleh golongan dewasa amat penting untuk dikongsikan dengan golongan belia supaya kesilapan-kesilapan yang sama tidak diulangi. Banyak perkara di dalam hidup ini tidak terdapat di dalam buku-buku fikrah tetapi dalam pengalaman yang dilalui. Benarlah pepatah melayu kata bahawa orang tua lebih banyak makan garam. Pengalaman-pengalaman ini sangat bernilai dan harus dikongsi sebanyak mungkin. Saya merasa amat sedih apabila pada satu ketika dahulu pendakwah-pendakwah muda yang baru pulang ke tanah air mengkritik pendakwah dewasa dengan alasan kononnya golongan dewasa kurang ilmu. Pendakwah tua berkenaan menerima kritikan itu dengan tenang. Tetapi hari ini saya dapati pendakwah belia itu sudah tidak berada di medan dakwah sedangkan pendakwah tua berkenaan masih terus iltizam dan gigih.

4. Belia selalunya seorang yang idealist tetapi dewasa lebih kepada realist. Ini dua perspektif yang sangat berbeza yang perlu di gabungkan. Tidak susah untuk difikirkan kenapa Rasulullah saw dilantik menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun bukan 20-an atau 30-an. Pertembungan ini jika tidak dapat diselaraskan akan mengakibatkan perselisihan yang akhirnya menimbulkan perasaan buruk sangka antara satu sama lain. Sang murabbi mesti mampu menggabungkan kesungguhan yg meluap-luap pada si muda dengan ketenangan yang ada pada si tua.

Aminuddin Yahaya

http://ismaweb.net/v2/Article942.html


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: