Posted by: aminuddin | 08/04/2009

Adiós Pak Lah

Pelantikan Tun Abdullah Badawi pada tahun 31 Oktober 2003 disambut dengan penuh harapan bahawa akan berlaku perubahan dalam corak pentadbiran kerajaan. Setelah 22 tahun negara berada di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, rakyat telah menyaksikan pelbagai isu yang timbul yang mengikis keyakinan rakyat kepada pimpinan negara. Isu kronisma dan nepotisma menjadi buah mulut rakyat yang hanya mengkayakan golongan tertentu di sebalik kemelaratan rakyat jelata. Kemuncaknya ialah apabila Tun Mahathir memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan UMNO dan institusi kehakiman mula diragui. Kemarahan rakyat ini dibuktikan di dalam pilihanraya ke 10 pada tahun 1999 apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS dan Kedah hampir juga tumbang. Kepimpinan Tun Mahathir dilihat sudah sampai ke penghujung dan akhirnya beliau “terpaksa berundur” sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 4.

Pak Lah yang dikenali sebagai “Mr Clean” menjadi taruhan rakyat untuk memulihkan kembali imej kronisma dan nepotisma ini serta institusi-institusi penting negara terutamanya kehakiman. Slogan pertama beliau “Bekerja bersama saya, bukan untuk saya” menjadi titik tolak langkah beliau. Keyakinan rakyat ini jelas terbukti di dalam pilihanraya ke 11 pada tahun 2004 di mana BN kembali menguasai parlimen dengan mendapat majoriti besar. Ada juga yang mengatakan bahawa antara kesilapan Pak Lah yang besar ialah apabila beliau membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mungkin ada kebenarannya apabila DSAI membuktikan bahawa beliau bukan calang-calang ahli politik yang tidak mungkin menyerah kalah dengan besi-besi penjara.
Kemunculan DSAI pada pilihanraya ke 12 membawa malapetaka pada Pak Lah apabila BN hampir-hampir dijatuhkan di peringkat pusat disamping 5 negeri jatuh kepada pembangkang. Kekalahan ini amat sukar untuk diterima oleh pimpinan BN terutama UMNO. Desakan dari Tan Sri Mahyudin, yang di anggap orang kuat beliau sendiri, untuk beliau meletakkan jawatan seolah-olah menandakan berakhirnya kepimpinan Pak Lah. Akhirnya beliau akur dengan kehendak akar umbi dan menyerahkan mahkota jawatan tertinggi negara kepada Dato’Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009 selepas hanya memerintah negara kurang lebih 6 tahun.

Walaupun ramai yang mengaggap bahawa kepimpinan Pak Lah adalah antara yang terlemah jika dibandingkan dengan Perdana Menteri yang terdahulu terutama Tun Mahathir tetapi rakyat juga tidak lupa akan jasa-jasa beliau. Mungkin tidak banyak pembangunan yang hebat di lakukan semasa pemerintahan beliau namun sifat keterbukaan Pak Lah lah yang telah merubah landskap politik negara. Bukan saja pihak pembangkang malah di kalangan orang-orang UMNO sendiri diberi ruang seluas-luasnya oleh Pak Lah untuk menyuarakan pandangan mereka. Ini tidak pernah termimpi oleh ahli-ahli UMNO semasa pemerintahan Tun Mahathir. Akhbar-akhbar dan saluran media lain juga di beri ruang untuk mana-mana pihak untuk mengeluarkan pandangan mereka. Mungkin ia tidak sebebas seperti yang di kehendaki rakyat tetapi sekurang-kurangnya rakyat kini sudah semakin berani untuk bersuara. Beliau juga tidak ”menghentam” pihak pembangkang sebagai mana yang dilakukan oleh Tun Mahathir dulu malah beliau menunjukkan politik yang agak terbuka dan matang. Ini diakui oleh Presiden PAS Ustaz Abdul Hadi di dalam pilihanraya kecil di Kuala Terengganu. Kesabaran beliau jelas ditunjukkan di dalam hubungan beliau dengan Tun Mahathir. Walaupun Tun Mahathir memberikan komen-komen yang negatif terhadap beliau dengan kenyataan-kenyataan yang sangat sensitif namun Pak Lah tidak pernah membalasnya. Ini dikatakan oleh Tun Musa Hitam sebagai ”Elegant Silence”. Sangat sukar untuk mencari pemimpin sesabar Pak Lah ini, mungkin kerana ilmu agama yang beliau pelajari dari ayahanda beliau dan semasa beliau menuntut di Universiti Malaya dulu masih tertanam kuat di dalam diri beliau.

Namun kesabaran dan budi pekerti yang baik tidak cukup untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Ia memerlukan juga ketegasan. Di sinilah kelemahan ketara Pak Lah. Kelembutan dan keterbukaan beliau rupa-rupanya telah di pergunakan oleh ramai pihak terutama apa yang di sebut-sebut oleh ramai orang, kumpulan ”Tingkat 4” di Putrajaya. Isu ini dikira antara isu yang membawa kepada kejatuhan beliau apabila rakyat melihat keputusan-keputusan negara bukan lagi milik Perdana Menteri seorang tetapi juga ditentukan oleh mereka yang berada di Tingkat 4. Pak Lah nyata gagal menangani hal ini dan akhirnya terpaksa berundur dengan kekalahan BN yang teruk pada pilihanraya ke 12 lepas. Tingkat 4 di label sebagai punca kekalahan BN dalam pilihanraya tersebut.

’Ala kulli hal, Pak Lah sudah mencuba sedaya upaya beliau untuk membaiki sistem pemerintahan negara namun ia ternyata gagal. Kini harapan rakyat pula bergantung kepada Dato’ Seri Najib dengan slogan ”Rakyat First, Performance Now”. Adakah ia lebih baik atau sebaliknya? Rakyat akan menunggu.

Dengan itu tamatlah era Pak Lah dengan segala peninggalan yang berliku-liku untuk Najib selesaikan dan untuk itu kita ucapkan, Adios Pak Lah.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: