Posted by: aminuddin | 04/06/2009

Suara Dari Gunung 1

Siulan burung pagi itu tiba-tiba menyedarkan aku dari tidur. Saban hari aku menunggu suara burung-burung ini yang bagiku begitu indah dan merdu sekali menghiasi subuh hari yang begitu hening. Hatiku menjadi begitu tenang mendengar bunyi ini kerana aku tahu burung-burung ini sedang berzikir kepada Allah swt. Suara yang begitu indah seolah-olah mereka sedang merayu-rayu kepada yang Maha Esa dan memuji-muji kebesaranNya. Tingkah laku burung-burung ini sangat memberi kesan kepada diriku seolah-olah ia ingin mengajarkan sesuatu kepada diriku. Apa tidaknya jika seekor haiwan seperti burung ini pun pandai berzikir kepada Allah, maka kenapa tidak pula manusia seperti aku ?

Syukur

 

Aku sudah bertahun-tahun mendiami gunung ini. Walaupun dah lama aku sampai ke gunung ini namun rasa kepenatan sewaktu aku mendaki dahulu sekali-sekala masih terasa di kakiku. Keheningan pagi itu membuatkan aku terkenang semasa aku mula mendaki dahulu. Pendakian yang ku sangka mudah rupanya penuh dengan onak duri dan belukar. Sekali aku melangkah sepuluh kali pula nafsuku menarik aku kebawah hingga kadang-kadang aku hampir jatuh ke jurang yang dalam. Dalam kepenantan pendakianku ini aku telah bertemu dengan seorang guru yang aku anggap alim dan sangat memahami perasaanku. Nah, umpama anak-anak yang kerinduan belian kasih ibunya, aku mencurahkan segala perasaan kepada beliau. Aku ceritakan kepadanya pengalaman-pengalaman dakwahku selama ini dan bagaimana sukarnya untuk aku iltizam dengan apa yang di ajarkan kepadaku dari guru-guruku sebelum ini. Aku rasa begitu lemahnya iman ini untuk menghadapi dugaan hidup yang saban hari semakin bertambah. Kadang-kala aku terasa bahawa syurga yang ku impikan didalam doa-doaku namun mungkin neraka pula yang menjadi ganjarannya. Mungkin manusia memujiku dengan banyaknya kerja-kerja dakwah yang aku lakukan selama ini namun di sudut hati kecilku sentiasa timbul persoalan; adakah Allah menerima amalanku ? Bertahun-tahun aku mencari jawapan kepada persoalan ini namun masih belum terjumpa jawapannya. Walaupun fisikalku aktif bergerak namun hatiku sentiasa merasa kekosongan. Apabila aku bangun malam, aku sentiasa bertanya kepada diri sendiri; untuk apa aku bangun ini ?

 

Guruku mendengar rintihanku ini dengan penuh ketenangan dan sabar. Sambil menghirup teh yang terhidang beliau memandang gelagatku yang gelisah. Setelah selesai aku mencurahkan perasaanku beliau tersenyum lalu berkata “Masaalah saudara sebenarnya ialah saudara tidak pernah BERSYUKUR dengan apa yang Allah swt telah berikan.”

 

Subhanallah, walaupun nasihatnya ringkas namun kalimah ini datang ibarat halilintar kedalam hatiku. Bergegar jantungku bagaikan gunung berapi yang mengeluarkan ledakannya. Rasa malu dengan Allah swt tidak dapat digambarkan. Dalam rintihan dan keluhan ku selama ini rupa-rupanya aku tidak sedar betapa besarnya nikmat yang telah di anugerahkan Allah swt kepada ku; dengan ilmu islam yang ku dapat selama ini.

 

Tidakkah aku pernah terfikir jika sekirannya aku tidak ada sedikit ilmu yang di berikan ini, di manakah aku sekarang ? Mungkinkah aku menjalankan kerja-kerja dakwah ini atau aku berpoya-poya dengan hidup? Mungkinkah aku dapat berkawan dengan rakan-rakan pendakwah lain atau aku akan berteman dengan kaki-kaki judi dan arak? Mungkinkah aku mampu menghafal ayat-ayat Al Quran atau hanya sekadar mengingat senikata lagu? Mungkinkah aku mampu menginfaqkan sedikit wang atau aku menjadi seorang yang bakhil? Nah, sekonyong-konyong sahaja semua ingatan ini datang menguasai pemikiranku. Aku tersentak, Ya Allah, jauhnya aku tersasar. Kenapa aku tidak pernah memikirkan nikmat yang melimpah ruah yang Engkau telah berikan ? Kenapa aku hanya merintih dengan kekurangan ? Tanpa dapat di kawal airmataku jatuh berderai seperti kanak-kanak kecil yang mengharapkan simpati. Rupa-rupanya aku lupa untuk Bersyukur !!!

 

Sesungguhnya kejadian ini telah merubah hidupku buat selamanya. Hidupku yang selama ini lesu dan kekosongan kini mula dapat merasai sedikit kemanisan. Pandanganku terhadap dakwah kini sudah berbeza. Penerimaan manusia tidak lagi menjadi sumber kekuatanku tetapi aku lakukan hanya sekadar untuk mengelak kemurkaan Allah swt. Aku melihat ibadah bukan untuk membanyakkan pahala atau ganjaran syurga tetapi sekadar melahirkan persaan kehambaanku kepada Penciptaku. Celaan manusia tidak lagi melukakan hatiku kerana aku sememangnya bukan mencari keredhaan mereka. Aku sangat benci dengan pujian kerana aku takut ia boleh merosakkan amalanku. Aku melihat manusia yang rosak akhlaknya bukan lagi dengan kebencian tetapi dengan penuh belas kasihan kerana mereka tidak sedar yang mereka sedang mneuju ke neraka Allah.

 

Sedang aku mengenang sejarah lama ini tiba-tiba lalu seekor burung helang terbang di hadapan pintu gunung tempat aku tinggal. Rupanya si helang ini baru keluar dari sarangnya untuk mencari makanan untuk anak kecilnya yang kelaparan. Aku tersenyum melihat gelagat helang ini. Ya, helang ini ialah sumber inspirasiku.

 

Hari sudah mula semakin panas, aku ingin meneruskan bacaan kitabku yang masih banyak belum aku telaah.


Responses

  1. Bagus kali ini posting tuan. Tak de lah asyik mendokong ketuanan umno saja

  2. gunung yang masih mendukung tapak kita jauh tinggi x terkapai….apa nasihat anda wahai sahabat apabila sedar d sekeliling gunung tersebut maseh banyak bukit2 kecil yang tidak mampu menyokong si kecil yang baru menapak? hmmm…..

    • Sigunung harus mengalirkan air sungai yang dingin supaya tumbuh dedahan yang kuat menyokong bukit yang kecil.

      • banyak dedahan yang kuat menyokong bukit tersebut namun bukit tetap merasa tidak kukuh kerana dahan utama yang menjadi harapan bukit kecil samasekali tidak menyokong bukit kecil. apa agaknya yag perlu bukit kecil lakukan supaya mampu menjadi lebih kuat & teguh wahai sahabat?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: